Prev   Next   Pause   Play     Scroll   Fade   ScrollFade

Search

Produk dan Ulasan Buku

Komen Terkini

HUKUM MELABUR DALAM AMANAH...
Keliru
Prof, daripada hujah prof td, bg saye...
17/08/10 18:24 More...
By ibnudaud

Petikan Ucapan dalam Facebook...
Tahniah !!
TAHNIAH DI ATAS ANUGERAH TOKOH MAULIDUR...
03/03/10 01:58 More...
By HARUN

Events Calendar

« < September 2010 > »
M T W T F S S
30 31 1 2 3 4 5
6 7 8 9 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 1 2 3

Pengunjung Online

We have 1 guest online

Statistik

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday145
mod_vvisit_counterYesterday121
mod_vvisit_counterThis week145
mod_vvisit_counterThis month855
mod_vvisit_counterAll55501
Utama arrow Galeri Dalam Media arrow Temubual arrow Debat pemulihan akidah
Debat pemulihan akidah PDF Print E-mail
 

Written by Rohidzir Rais, on 04-07-2010 06:20

Views : 173    

Favoured : 4

Published in : Dato Dr Mahmood Zuhdi dalam Media , Temubual


Debat pemulihan akidah

 

Active Image

 

Ia kelak akan diselaraskan dengan Enakmen Syariah negeri-negeri.

Kerajaan Pusat tidak mempunyai kuasa untuk memaksa setiap kerajaan negeri melaksanakan undang-undang berhubung dengan Islam.

Namun begitu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paduka Dr. Abdul Hamid Othman berharap lebih banyak negeri akan mencontohi Perlis yang mewujudkan undang-undang khusus bagi mengawal akidah umat Islam daripada terpesong.

Kini, Perlis dan Selangor sudah mempunyai Enakmen Perlindungan Akidah Islamiah 2000.

Antara ciri penting dalam enakmen itu ialah hanya Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan seseorang itu tidak lagi beragama Islam.

Apabila mendapat maklumat daripada perlakuan atau tutur kata seseorang Islam yang disyaki menukar akidah, seseorang pegawai penguat kuasa agama hendaklah menyiasat dan menghadapkannya ke mahkamah.

Kemudian, mahkamah hendaklah menasihatkannya supaya bertaubat. Jika dia bertaubat, maka dia dilepaskan.

Jika tidak, dia akan diperintahkan supaya ditahan di pusat pemulihan akidah selama tempoh tidak lebih setahun. Dia dilepaskan jika bertaubat. Jika tidak, sehingga akhir tahanan itu, dia akan diisytiharkan keluar daripada Islam dan urusan dibuat untuk pembubaran perkahwinannya.

Cadangan undang-undang ini menimbulkan pro dan kontra.

Di satu pihak, ada yang menyifatkan cadangan undang-undang ini wajar bagi memelihara ketenteraman masyarakat Islam.

Pihak lain pula menganggap cadangan undang-undang ini bercanggah dengan hak asasi manusia dan hanya memburukkan imej Islam.

Untuk ini, wartawan Mingguan Malaysia, Zin Mahmud mewawancara seorang pakar undang-undang, Profesor Dr. Shad Saleem Faruqi dan Pengarah Akademi Islam, Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi yang memberi pandangan berbeza.

Wajar untuk pelihara ketenteraman masyarakat

Mingguan: Mengapakah syariah mengenakan hukuman berat terhadap murtad iaitu sehingga menghukum bunuh ke atas orang yang keluar daripada agama Islam? Sedangkan Islam menjamin kebebasan beragama.

Mahmood: Ada dua perkara yang perlu difahami di sini. Islam sebagai akidah atau kepercayaan dan Islam sebagai ideologi negara.

Dalam hal akidah, Islam menjamin kebebasan beragama. Tidak ada sesiapa yang boleh dipaksa memeluk Islam ataupun melarang sesiapa keluar daripada Islam. Dalam hal ini syariah tidak mengenakan hukuman mati.

Tetapi dalam soal Islam sebagai ideologi negara, ia membawa maksud yang berbeza. Dalam sebuah negara Islam dengan erti kata bahawa negara berkenaan mempunyai ideologi Islam, keluar daripada Islam boleh bererti menentang ideologi negara, atau menentang negara itu sendiri. Seperti suatu pengkhianatan. Murtad seperti inilah yang boleh dibawa hingga ke hukuman mati.

Jadi, kalau meninggalkan Islam dari segi akidah, maka tidak dihukum mati. Islam memberi kebebasan beragama. Tetapi kalau meninggalkan Islam kerana hendak menentang negara Islam seperti seorang pengkhianat, maka hukumannya boleh membawa kepada mati.

Tidakkah hukuman ini kejam dan menakutkan?

Mahmood: Kalau dilihat pada kebanyakan negara mana-manapun, hukuman mengkhianati negara, atau bangkit menentang kerajaan yang sah, lebih-lebih lagi dengan menggunakan senjata, hukumannya sudah tentu berat. Biasanya hukumannya mati. Jadi pengkhianatan terhadap negara Islam tidak berbeza dengan pengkhianatan terhadap sesebuah negara biasa.

Jadi dalam hal ini, sesuaikah hukuman berat dikenakan ke atas orang yang murtad di negara ini sedangkan mereka bukannya menentang kerajaan Islam. Kebanyakannya meninggalkan Islam kerana perkahwinan. Ataupun kembali kepada agama asal mereka setelah gagal dalam perkahwinan dengan pasangan mereka yang beragama Islam. Sementara ada sebilangan pula yang benar-benar meninggalkan Islam kerana tertarik kepada agama lain. Apakah hukuman bagi mereka?

Mahmood: Di sini perlu jelas bahawa negara ini bukan sebuah negara Islam. Maka tidak timbul soal menentang negara Islam kerana negara ini bukan negara Islam. Mereka yang keluar daripada Islam bukan mengkhianati negara, maka tidak timbul soal menjalankan hukuman mati ke atas mereka.

Mereka meninggalkan Islam kerana akidah atau kepercayaan. Atas prinsip kebebasan beragama, mereka tidak boleh dihalang.

Tetapi walaupun negara kita bukan negara Islam tetapi kita hidup dalam masyarakat Islam iaitu majoriti penduduk negara ini beragama Islam dengan mempunyai kuasa untuk melaksanakan cara hidup secara Islam.

Dalam hal ini, perlu lagi satu pemahaman bahawa Islam bukan sekadar akidah tetapi cara hidup bermasyarakat. Walaupun tidak hidup dalam negara yang mempunyai ideologi Islam, tetapi kita hidup dalam masyarakat islam yang mempunyai matlamat keharmonian hidup.

Hakikat dalam masyarakat kita ialah meninggalkan Islam adalah suatu yang sensitif dan boleh menimbulkan keresahan masyarakat. Kalau masyarakat tidak tahu tentang perubahan agama seseorang, iaitu katakanlah seseorang itu meninggalkan Islam secara senyap-senyap iaitu tidak diketahui oleh sesiapa pun, hanya dia dengan Tuhan, maka biarlah dia menghadapi balasannya sendiri di akhirat kelak. Tetapi kalau dia menghebahkan kepada umum melalui perbuatan atau pertuturan, sudah tentu ia menimbulkan keresahan masyarakat.

Apakah pandangan profesor terhadap undang-undang perlindungan akidah Islam yang bertujuan melindungi, pemulihan dan penentuan akidah orang Islam yang telah digubal di Perlis dan Selangor, dan bakal diperkenalkan di peringkat Persekutuan?

Mahmood: Saya fikir undang-undang itu adalah wajar bagi membolehkan masyarakat Islam di negara ini hidup tenteram.

Apakah undang-undang ini perlu sedangkan akidah umat Islam di negara ini tidak terancam. Kes-kes murtad hanyalah peristiwa terpencil dan tidak menjejaskan kehidupan masyarakat Islam?

Mahmood: Walaupun peristiwa murtad adalah kecil dan terpencil tetapi ia ada berlaku dan ini menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat Islam yang sensitif terhadap perkara ini. Maka undang-undang seperti ini adalah perlu.

Tidakkah undang-undang ini menjejaskan prinsip kebebasan beragama yang kini sudah diterima oleh dunia sebagai suatu hak semua manusia.

Mahmood: Undang-undang ini tidak menghalang kebebasan beragama. Apa yang diperuntukkan adalah usaha untuk melindungi, memulih dan menentukan akidah.

Ia haruslah dilakukan melalui proses yang teratur supaya tidak menjejas ketenteraman masyarakat. Orang yang cuba hendak meninggalkan Islam mestilah dibawa ke mahkamah, diadili supaya benar-benar sah yang dia hendak keluar daripada Islam. Jika benar, maka dia dibawa ke pusat pemulihan akidah tidak lebih daripada setahun untuk dipulihkan supaya dia bertaubat dan mengelakkan dirinya daripada murtad. Tetapi kalau dia masih mahu terus keluar daripada Islam, maka dia tidak dihalang, cuma akan dilakukan proses yang membabitkan soal-soal perubahan statusnya.

Undang-undang ini menghukum seseorang kerana ia meninggalkan Islam dengan menghantarnya ke pusat pemulihan akidah, tidakkah ia seperti dipenjarakan dan ini boleh dilihat sebagai melanggar hak kebebasan beragama?

Mahmood: Pusat pemulihan akidah adalah seperti namanya, pusat pemulihan, dan bukannya penjara. Mereka yang meninggalkan Islam tidak dipenjarakan.

Adakah ini akan menjejaskan imej umat Islam?

Mahmood: Saya tidak melihat begitu. Undang-undang ini akan menjelaskan lagi Islam kepada bukan Islam. Sebelum mereka hendak memasuki Islam, mereka mesti benar-benar faham dan jelas implikasinya. Maknanya, memasuki Islam bukan boleh seperti suka-suka atau main-main. Islam bukan saja membabitkan akidah tetapi keharmonian masyarakat, tentang soal keluarga, umpamanya.

Tidakkah undang-undang ini akan mencemarkan nama negara pada pandangan dunia. Lebih-lebih lagi media Barat yang sememangnya prejudis terhadap Islam akan menampilkan imej betapa Islam mengongkong penganutnya dan mengekang kebebasan beragama. Malah jika nanti berlaku seseorang yang hendak keluar Islam dan dikenakan tindakan seperti yang ditetapkan oleh undang-undang itu, orang berkenaan akan dijadikan wira oleh negara asing, dan mungkin mereka diberikan tempat perlindungan sambil berlaku proses memburuk-burukkan Islam.

Mahmood: Mungkin perkara ini boleh berlaku. Tetapi pertentangan antara Islam dengan dunia luar yang menentang Islam tidak akan berakhir. Ia akan berterusan walau apapun yang kita lakukan.

Undang-undang murtad hanya burukkan imej Islam

Mingguan: Apakah pandangan profesor terhadap cadangan undang-undang pemulihan akidah di peringkat Persekutuan?

Shad: Saya mempunyai keraguan terhadap keperluan undang-undang seumpama itu. Bukan saja ia tidak perlu tetapi akan mendatangkan imej yang buruk kepada Islam. Pihak asing yang sememangnya mempunyai prejudis terhadap Islam akan mengukuhkan lagi prasangka mereka tentang keburukan Islam.

Apabila cadangan undang-undang ini diluluskan, mereka akan menghebahkan kepada dunia bagaimana Islam tidak toleran kepada kebebasan beragama.

Imej Malaysia juga akan terjejas. Malaysia yang dikenali sebagai negara orang Islam yang toleran akan digambarkan sedang menuju kepada suasana yang tidak toleran.

Kemudian apabila berlaku kes mengenai murtad, maka dunia asing akan menumpukan perhatian kepada kes itu dan menjadikan orang yang keluar daripada Islam itu sebagai wira. Bukan saja laporan media besar-besaran akan dibuat terhadapnya tetapi pelbagai bantuan akan diberikan seperti biasiswa atau perlindungan di negara asing.

Kita lihatlah bagaimana dunia barat menjadikan Salman Rushdie dan Taslima Nasreen sebagai wira kerana kedua-duanya menjadi heboh kerana menghina Islam.

Sedangkan kalau tidak ada cadangan undang-undang ini, maka ia tidak akan jadi heboh dan perkara itu hilang begitu saja.

Lagipun, masyarakat Islam di negara ini tidak terancam dengan murtad. Kes-kes yang berlakupun sedikit, terpencil dan tidak mengancam akidah umat Islam. Umumnya, yang meninggalkan Islam adalah kerana perkahwinan. Kebanyakannya kembali kepada agama asal mereka apabila perkahwinan mereka dengan pasangan Islam mereka gagal. Ada pula meninggalkan Islam kerana hendak berkahwin dengan seorang bukan Islam yang enggan masuk Islam. Yang benar-benar menukar agama kerana menukar akidah hanyalah segelintir.

Masalah ini harus dihadapi dengan cara lain tetapi bukannya melalui cadangan undang-undang perlindungan akidah.

Lagipun bilangan orang bukan Islam yang masuk Islam adalah jauh lebih besar.

Maka gejala meninggalkan Islam bukan ancaman. Kita harus kekalkan Islam yang mempunyai toleransi.

Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang aman dan makmur di mana penduduknya bebas mengamalkan agama masing-masing. Kemakmuran inilah yang perlu dipelihara. Tetapi cadangan undang-undang ini akan hanya menimbulkan rasa tidak senang di kalangan bukan Islam kerana merasakan kedudukan mereka semakin terjejas.

Maka cadangan undang-undang ini tidak akan mendatangkan hasil yang positif.

Pada prinsipnya, adakah cadangan undang-undang perlindungan akidah ini selari dengan keadilan?

Shad: Pada prinsipnya, Islam memberi jaminan kebebasan beragama. Saya menemui 20 ayat al-Quran yang menjamin kebebasan beragama. Hukuman mati terhadap mereka yang keluar daripada Islam hanya terdapat dalam hadis. Itupun harus dilihat dari segi konteks. Saya percaya, ia lebih merupakan pengkhianatan terhadap negara, bukannya menukar agama.

Dalam semangat Islam, manusia bebas memilih apa saja agama mereka. Tetapi cadangan undang-undang ini tidak mencerminkan semangat kebebasan beragama. Ia menjadikan mereka yang menukar agama seperti seorang penjenayah. Dipanggil ke mahkamah dan dihukum. Ini bukan kebebasan beragama.

Tetapi menurut rang undang-undang ini, ialah kalau kita rujuk pada apa yang telah diluluskan di Perlis dan Selangor, mereka tidak dihukum atau di penjara, mereka diminta bertaubat dan dihantar ke pusat pemulihan akidah, bukannya dipenjarakan.

Shad: Memanglah bukan dipenjarakan tetapi pusat pemulihan itu seperti tahanan walaupun namanya tidak disebut sebagai pusat tahanan. Mereka dipaksa berada di situ mengikut undang-undang, ini seperti hukuman, walau apapun namanya.

Tetapi adakah kita harus biarkan saja orang Islam murtad?

Shad: Tidaklah begitu. Ada cara lain. Melalui nasihat, umpamanya. Atau kalau dari sudut menghina agama, sudah ada peruntukan dalam Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 298 dan Seksyen 298A.

Mereka boleh dihukum. Ada masanya perlu untuk menjaga ketenteraman awam. Tetapi bukanlah suatu undang-undang menyekat kebebasan beragama.

Dari segi undang-undang, bagaimanakah kedudukan cadangan undang-undang ini?

Shad: Pertama saya hendak sebut, cadangan undang-undang ini boleh bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia sejagat khususnya Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dan Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik 1966.

Kedua, ia mungkin boleh dicabar sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Adakah kita melakukan pengesahan atau terikat dengan kedua-dua dokumen antarabangsa?

Shad: Tidak, tetapi menurut Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999, ada menyebut untuk akta itu Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 akan diambil kira selagi ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dari segi semangatnya, kita harus akur terhadap perisytiharan hak asasi manusia sejagat itu.

Tetapi dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri iaitu Artikel 11 menyebut bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. Cuma soal penyebaran agama ada sekatan. Islam diberi keutamaan demi menjamin ketenteraman awam kerana ada agama lain yang mempunyai sumber besar untuk menyebarkan agama mereka hinggakan boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat Islam.

Bagaimanapun, cadangan undang-undang ini menghalang seseorang daripada menganuti agama kepercayaannya. Jadi kalau seseorang sudah tidak mahu menganuti Islam, maka cadangan undang-undang ini cuba menghalangnya.

Tetapi cadangan undang-undang ini tidak menghalang orang menukar agama, ia hanya mahu menguruskannya secara teratur supaya ketenteraman masyarakat tidak terjejas?

Shad: Proses yang pelbagai, daripada mahkamah hingga kepada pusat pemulihan akidah dan selanjutnya merupakan usaha menghalang penukaran agama dan menyekat kebebasan beragama.

Cadangan undang-undang pemulihan akhlak Islam ini menimbulkan ketakutan dan kebimbangan. Ia juga menjejaskan kebebasan peribadi. Apabila dipaksa menghadiri ke mahkamah atas perubahan kepercayaan agama, juga dipaksa menghadiri pusat pemulihan akidah, kesemuanya menyekat kebebasan peribadi.

Dari segi ini, ia bercanggah dengan Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan diri warganegara.

Tetapi Islam adalah agama Persekutuan. Tidakkah mengawal kewibawaan Islam merupakan suatu yang utama?

Shad: Daripada segi simbol dan upacara, Islam adalah agama Persekutuan. Tetapi dari segi undang-undang, Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang paling utama seperti yang disebut dalam Artikel 4 Perlembagaan.


Last update : 04-07-2010 06:20

Quote this article in website Favoured Print Send to friend Related articles Save this to del.icio.us

Users' Comments  RSS feed comment
 

Average user rating

   (0 vote)

 

No comment posted

Add your comment



mXcomment 1.0.9 © 2007-2010 - visualclinic.fr
License Creative Commons - Some rights reserved
Next >

Gallery

Koleksi Dato' Mahmood Zuhdi Anugerah Tokoh Maal Hijrah Koleksi Dato' Mahmood Zuhdi Koleksi Dato' Mahmood Zuhdi Koleksi Dato' Mahmood Zuhdi Koleksi Dato' Mahmood Zuhdi Koleksi Dato' Mahmood Zuhdi Dunia Ibarat Air Hujan 1 Anugerah Tokoh Maal Hijrah Koleksi Dato' Mahmood Zuhdi